Tuesday, May 31, 2016

Kronologi kelahiran Rizqi

Mama dijangkakan melahirkan Rizqi pada 4 Jun 2016. Tapi Rizqi dah tak sabar nak keluar. 
Sebagai peringatan, setiap pengalaman ibu adalah berbeza. Bergantung kepada rezeki masing-masing.

28 Mei 2016
2pm - Mama perasan ada kesan darah. Nampak macam dah lama turun. Mungkin dari tengahari. Mama belum terasa sakit apa-apa. Jadi mama ingat nak pandu kereta ke hospital sendiri. Tapi opah suruh mama tunggu atuk balik kerja dulu. Opah takut mama gelabah.

5pm - Atuk sampai je, kami terus bertolak ke Hospital Raja Permaisuri Bainun. Dulu hospital ini dikenali sebagai Hospital Besar Ipoh.

8pm -  Ramai sungguh orang yang menunggu masa untuk bersalin. Sekarang barulah mama dapat jumpa doktor. Itu pun doktor pelatih. Doktor ini doktor wanita berbangsa India. Masih muda. Beliau pegang perut mama. Katanya ada kontraksi tapi mama memang belum terasa sakit langsung. Cuma perut kerap mengeras. Kemudian pemeriksaan bukaan vagina (VE) dilakukan. Masih tiada bukaan.

9pm - Bagi mama ini terlalu lama. Satu jam menunggu barulah mama tahu seorang lagi doktor perlu memeriksa mama. Seorang doktor lelaki mungkin berbangsa India juga tapi kulitnya putih dan badannya sangat sasa. Boleh bayangkan saiz jarinya? Beliau melakukan pemeriksaan VE dan masih kosong.

10pm - Mama mula rasa sakit mencucuk-cucuk pada ari-ari selepas doktor lelaki tadi membuat VE. Tapi mama masih tidak perlu ditahan di hospital. Jadi, mama pulang semula ke rumah bersama opah dan atuk. Tapi mama yakin malam ini mama takkan boleh tidur nyenyak. 

29 Mei 2016
2am - Sakit datang setiap 5 minit. Mama risau mama tak dapat bertahan sampai pagi. Jadi, mama kejutkan opah. Opah pun kejutkan atuk. Mereka hantar mama ke hospital semula. Orang masih ramai di hospital. 

4am -  Mama diperiksa oleh doktor wanita yang sama. VE sudah pun 2cm. Mereka mengambil sampel darah mama dan mama ditahan di wad menunggu untuk bersalin. 

Mama terus menghantar SMS kepada ayah. Kemudian, mama takut jadi sesuatu yang kita semua tak duga, mama terus hubungi ayah. Nasib baik ayah tersedar. Kesian jugak kat ayah.  

10am - Dalam keadaan kelam kabut tu, kereta ayah berpusing di Grik. Nasib baik tak ada apa-apa berlaku. Ayah sampai kat mama dalam pukul 10pagi. Makteh baru sampai dari Sarawak. Jadi, opah dan atuk perlu ke Penang untuk menjemput makteh.

1pm - VE 4cm. Mama ditolak masuk ke labor room. Labor room ini labor room yang terbuka. Mama boleh dengar orang sebelah menjerit meneran. Ayah tidak dibenarkan masuk. Tinggallah mama seorang dalam tu. Doktor tanya, mama nak pain killer tak? Mama cakap tak mau la. Nanti jadi apa-apa kat baby macam mana.

6pm - Setiap 5 minit kontraksi datang menyerang tapi keadaan Rizqi masih baik. Jadi, semua kakitangan suruh mama bertahan. Sebab keadaan mama juga baik. Cuma mama seolah-olah tak boleh menahan sakit sangat. Mereka masih berharap mama dapat melahirkan secara normal.

11pm - VE masih 4cm. Jauh dalam sudut hati mama, mama sudah berputus asa. Mama dah tak dapat tahan lagi. Mama sedih sangat sebab mama kena tanggung sakit seorang diri dalam bilik ini. Tak ada siapa dibenarkan temankan mama. Setiapkali ada nurse yang lalu, mama akan tanya, mana suami saya? Semua cakap, suami tak boleh masuk sini.

30 Mei 2015

4am - Ada seorang nurse datang cek VE dan menasihati mama supaya bertahan. Nurse tu cucuk pain killer kat belakang mama. Tapi pain killer tu cuma melalikan mama. Ketika kontraksi datang, sedikit pun rasa sakit itu tak kurang. Sekurang-kurangnya, mama dapat rehat semasa kontraksi berhenti 5 minit.

5am -  Kakitangan akan bertukar shift. Nurse yang menjaga mama tu hantar mama ke labor room yang lebih besar. Bilik ini untuk mama seorang saja. Lebih banyak peralatan daripada bilik tadi. Kali ini ayah dibenarkan temankan mama. Perasaan mama masa tu lebih lega, sakitnya lebih kurang berbanding ketika keseorangan tadi. 

6am -  Seorang doktor wanita berbangsa India, beliau yang pecahkan air ketuban mama. Mula-mula, mama takut sangat tapi rupanya tak sakit langsung. Cuma boleh rasa air keluar suam-suam. Mereka kata, mungkin bila pecahkan air ketuban, akan cepatkan bukaan. Harap begitulah.

9am - Air ketuban dah keluar banyak tapi bukaan masih sama. Mama dah penat sangat. Ayah di sebelah mama pun penat. Mama tahu ayah pun tak cukup tidur. Mama rasa pelik, kenapa mama tidak di-induce seperti mereka yang pernah di-induce. 

12pm - Seorang doktor masuk dan bercakap dengan nurse yang ada di situ. Mama dengar dia cakap, czer jela. Mama dah tak sabar lagi. Bila nurse situ tanya mama, mama terus setuju. Ayah macam tak setuju. Tapi mama beritahu ayah yang mama dah dah tak tahan lagi. Ayah nampak sebak.
Kemudian mama tandatangan sendiri surat persetujuan untuk pembedahan.

3pm - Ramai sangat pesakit di hospital. Ramai juga yang nak bersalin pada hari itu. Dan ramai juga yang perlu dibedah. Jadi, mama masih perlu menunggu giliran walaupun sakit itu dah tak tertahan rasanya.
Ada rasa macam nak buang air besar pun ada. Tapi ada nurse yang pesan jangan teran. Nanti bengkak kepala anak tu. Aduh, memang tak tahu nak buat apa bila sakit itu datang.

5.30pm - Lega sangat bila kakitangan hospital datang untuk tolak mama ke bilik bedah. Sangat kalut keadaan dalam bilik tu sebab kontraksi asyik datang tiba-tiba dan mama asyik bergerak ke kiri dan ke kanan. Ada yang marah mama tapi mama pekakkan saja.

6.02pm - Lahirlah Muhammad Dzul Alifrizqi secara pembedahan kerana poor progress. (30 Mei 2015)

Kali pertama tengok Rizqi, mama terus bagi salam 'Assalamualaikum'...mereka letak Rizqi di atas dada mama. Mama cium Rizqi puas-puas. Hati mama lega sangat. Alhamdulillah.



P/S : Tujuan diletakkan jantina dan bangsa doktor adalah untuk menyegarkan kembali ingatan saya kepada mereka. Tiada tujuan perkauman atau sebagainya. Apa pun, mereka banyak membantu saya selama saya berada di sana. Terima kasih semua.

2 comments:

  1. Replies
    1. sbb payah nak lekat, mmg anggap ini rezeki, dan dari mula preggy mmg terpikir nama ni tak kira boy or girl yg kuar nt..

      Delete